SOROK DADAH RM23.7 JUTA DALAM TRAK TUNDA, DUA BERANAK DITAHAN

GERIK: Cubaan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa membawa 448 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan ketamin bernilai RM23.7 juta menggunakan trak tunda tumpas dengan penahanan dua beranak di Kilometer 7 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain berkata, suspek berusia 58 tahun dan anak lelakinya berusia 27 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak pada pukul 6 petang.

“Trak tunda dinaiki dua beranak ini ditahan ketika dalam perjalanan dari Kelantan ke satu lokasi di Perak dengan menunda sebuah kereta jenis Toyota Alphard.

“Hasil pemeriksaan polis telah menjumpai sejumlah 447 bungkusan dadah jenis ketamin dan juga syabu berjumlah 448 kilogram yang diletakkan di dalam kereta Toyota Alphard terbabit, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di  Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Ipoh, hari ini.

Menurut Razarudin, siasatan mendapati bekalan dadah diletak dalam bungkusan teh cina sebelum diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand.

Katanya, polis percaya dadah terbabit bukan hanya untuk penagih tempatan tetapi juga untuk pasaran negara jiran seperti Filipina, Indonesia, Korea Selatan serta Australia.

Razarudin berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai boleh menampung keperluan lebih dua juta penagih.

Ujar beliau, pihaknya percaya tangkapan ke atas dua suspek dan rampasan terbesar di Perak itu telah memutuskan bekalan untuk kegunaan tempatan dan luar negara.

Tambah Datuk Razarudin, ujian saringan terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Ujar beliau, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM19,672 dan kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 27 Jun lalu hingga 3 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — AlHijrah Online /Hamimah Hamid

Leave a Reply