PPMP SAMPAIKAN BANTUAN ‘ONE-OFF’ KEPADA PENGAMAL MEDIA

IPOH, 28 JUN – Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kumpulan media di negeri itu bagi membantu meringankan beban ketika Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Pengerusi PPMP, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, hampir 100 pengamal media tersenarai menerima bantuan terbabit dengan setiap daripada mereka menerima wang tunai antara RM200 hingga RM500 membabitkan jumlah keseluruhan RM35,000.

Menurut Sayed Mohd Hesham, dana berkenaan dikumpulkan melalui tabung persatuan hasil sumbangan daripada pelbagai pihak antaranya Pejabat Menteri Besar Perak, Ahli Parlimen, badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang persendirian.

“Bantuan ini kita berikan secara ‘one off’ dan berperingkat sejak 16 Jun lepas merangkumi pelbagai agensi media cetak dan penyiaran, akhbar berbahasa Melayu, Cina dan India yang terkesan dalam pandemik Covid-19 ketika ini.

“Sumbangan itu juga sebagai menghargai peranan petugas media yang terus berkerja dan mencari bahan berita untuk menyalurkan maklumat tepat kepada orang ramai terutama berkaitan usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Ujar Sayed Mohd Hesham, bantuan kecil tersebut juga diharap dapat memberi semangat kepada petugas media untuk terus komited dalam menjalankan tugas. – AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply