SURAU DICEMARI NAJIS, AL-QURAN BERSELERAKAN

DUNGUN: Polis menemui najis di atas sejadah imam serta kesan air kencing di dinding surau di Bandar Al-Muktafi Billa Shah, Dungun yang dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, pengadu mendakwa paip air di surau tersebut turut dibiarkan terbuka dengan sengaja manakala beberapa naskhah al-Quran dibuang di kawasan kebun berhampiran.

Pengadu merupakan orang pertama hadir ke surau pada jam 5.30 pagi Rabu untuk melaungkan azan Subuh dan dia mendapati surau tidak berkunci.

“Suspek dipercayai masuk ke dalam surau melalui pintu utama dan telah melakukan perbuatan-perbuatan khianat itu,” kata Baharudin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat, manakala suspek masih dikesan.–AlHijrah Online

Leave a Reply