TIGA ANAK YATIM PIATU DISANTUNI MENTERI AGAMA

KUALA LUMPUR: Tiga beradik menjadi yatim piatu selepas bapa mereka yang menjadi tempat bergantung dan berkasih sayang, Allahyarham Za Mohd Zain Mohd Buang meninggal dunia Jumaat lalu

Ibu kepada tiga beradik itu juga telah meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat penyakit kanser.

Prihatin dengan nasib tiga beradik yang masih belajar itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini hadir menyantuni mereka bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Hari ini, saya hadir bagi menyampaikan bantuan daripada MAIWP kepada anak-anak ini seperti bantuan pembekalan barangan keperluan asasi setiap bulan selain bantuan-bantuan lain yang berkaitan seperti yang diluluskan pihak MAIWP.

“Keutamaan adalah bantuan biasiswa kepada yang anak sulung yang kini sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg Malim sementara dua orang lagi masih bersekolah, Tingkatan 2 dan 5 di Sekolah Menengah Agama MAIWP,” katanya dalam catatan di Facebook.

Kata Mohd Na’im beliau amat sedih dan simpati dengan ujian yang sedang dilalui tiga beradik itu.

“Beberapa kali saya ulang berpesan kepada anak-anak agar bersabar dan terus bersepakat adik beradik untuk saling membantu. Paling penting belajar bersungguh-sungguh demi masa depan selain sentiasa mendoakan kedua arwah ibu dan bapa,” katanya,

Mohd Na’im juga telah meminta MAIWP agar sentiasa menyantuni dan berhubung selalu anak-anak ini dari semasa ke semasa. — AlHijrah Online

Leave a Reply