TIMBALAN MENTERI KKMM PULA POSITIF COVID-19

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif COVID-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya, Zahidi disahkan positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi tadi.

“Beliau menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari 2021 yang lalu.

“Beliau telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelas kenyataan dikeluarkan pejabatnya.

Pada 25 Disember 2020, Zahidi dilaporkan telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusannya ialah negatif.

Beliau turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat.

Sebelum ini tiga menteri kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah disahkan positif COVID-19 . – AlHijrah Online

Leave a Reply