TRANSGENDER HARAM MASUK MASJID, TUNAI HAJI DAN UMRAH

KUALA LUMPUR: Golongan mukhannath atau lebih dikenali sebagai ‘transgender’ diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina yang boleh menganggu suasana ibadah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, golongan tersebut juga dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah.

“Jenazah golongan ini diuruskan berdasarkan jantina yang sebenar. Pihak pengurusan jenazah memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah.

“Lelaki dari golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat ketika proses perwalian dia tampil dengan perwatakan lelaki,” katanya menurut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali ke-53.

Jelasnya, golongan tersebut yang menyerupai jantina yang berbeza termasuk dalam golongan fasik.

Tasyabbuh iaitu perbuatan lelaki ataupun wanita dengan sengaja meniru jantina yang berbeza dari segi pertuturan, tingkah laku, perbuatan atau berpakaian tanpa mempunyai keperluan yang dibenarkan oleh syarak seperti pendidikan, penyaksian atau pemberian keterangan dan seumpamanya.

“Hukum tasyabbuh adalah haram dan termasuk dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT seperti di dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas r.a bermaksud Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan orang wanita yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari),” tambahnya.

Ujarnya, jika penyerupaan itu tidak disengajakan seperti sifat lembut yang ada pada lelaki sejak asal bukan dibuat-buat adalah tidak dinamakan dengan tasyabbuh dan golongan tersebut dipanggil mukhannath khalqi.

Ia juga termasuk wanita yang mempunyai sifat lelaki sejak asal seperti suara yang garau dan golongan ini dimaafkan selagi mana ia bukan disengajakan.

“Demikian juga lelaki atau wanita yang memiliki perasaan seks kepada golongan sejenis tanpa sengaja, namun tidak melakukan apa-apa perbuatan yang mencanggahi syarak adalah dimaafkan bahkan jika dia bersabar menahan dirinya dari melakukan perbuatan yang haram, dia mendapat pahala yang besar,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply