TUGAS IZZAH HANYA BANTU, BUKAN AMBIL PROJEK – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terbuka menerima setiap teguran, dan akan memberikan penjelasan berhubung pelantikan Nurul Izzah selaku Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya.

Menegaskan sekali lagi bahawa pelantikan itu dibuat tanpa sebarang bayaran, Anwar berkata beliau mahu Nurul Izzah memainkan peranan membantu kerajaan, antara lain dalam memastikan ketelusan pentadbiran serta urusan perolehan tender kerajaan, berlaku secara teratur dan mengikut prosedur.

“Saya terima baik teguran. Saya jelaskan, itu berbeda dengan pengalaman yang lalu yang biasanya semua lantikan akan melibatkan soal upah dan ganjaran. 

“Dia (Nurul Izzah) datang untuk bantu. Itu sahaja, bukan untuk ambil projek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di sini hari ini.

Perdana Menteri turut mempersoalkan pihak yang mengkritik beliau yang menurut Anwar, mereka sendiri tidak mengamalkan pentadbiran yang telus, malah memberikan kontrak dan tender bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga mereka.

“Sebab itu saya kata sedia terima teguran. Jika ikhlas saya tiada masalah kerana saya komited memastikan supaya tiada amalan tidak sihat berlaku dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Mengulas kritikan mengenai amalan nepotisme di sebalik pelantikan anaknya itu, Anwar menjelaskan perkara itu berlaku jika seseorang diberi jawatan untuk tujuan menyalahguna kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mahu mendapat upah yang tinggi.–AlHijrah Online

Leave a Reply