TUN MAHATHIR TERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19

Sumber Gambar: Twitter @JKJAVMY

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Langkawi, di sini.

Isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut bersama dalam menerima suntikan vaksin tersebut.

Menurut Dr Mahathir, rakyat tidak perlu meragui tentang keberkesanan vaksin COVID-19 yang sudah diluluskan pihak berkuasa, malah perlu yakin ianya dapat mengurangkan jangkitan.

“Ada vaksin yang perlu disuntik dua kali, malah ada cuma sekali, tapi vaksin COVID-19 yang diluluskan pihak berkuasa semua sudah ditapis dan berkesan.

“Proses suntikan semua rakyat perlu dipercepatkan kerana penduduk Malaysia kira-kira 33 juta, tidak ramai berbanding Amerika ada 360 juta,” katanya.

Tambahnya golongan berusia dan mempunyai masalah kesihatan sewajarnya diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin.

“Sebagai warga emas saya ingin mengajak bukan sahaja yang berumur seperti saya tetapi juga rakyat yang lebih muda untuk turut bersama divaksin apabila tiba giliran nanti,” katanya.

Menurut ciapan yang dimuat naik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 di laman Twitter, Dr Mahathir, 96 tahun, yang juga ahli Parlimen Langkawi itu merupakan penerima vaksin tertua di Malaysia setakat ini.—AlHijrah Online

Terdahulu, Dr Mahathir memilih untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 bersama kumpulan kedua petugas barisan hadapan, di sini.

Leave a Reply