COVID-19: TURKI SAHKAN KES PERTAMA

Last Updated on

ANKARA: Turki mengesahkan kes pertama koronavirus di negara itu awal pagi ini sambil menegaskan langkah-langkah pencegahan diambil bagi membendung penularan wabak itu.

“Seorang warga Turki (lelaki) disahkan positif koronavirus petang semalam,” kata Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca dipetik agensi berita Anadolu dalam sidang media di Ankara.

“Individu itu dijangkiti virus selepas pulang dari Eropah. Beliau telah diasingkan sepenuhnya.

“Beliau dalam keadaan stabil. Kesemua ahli keluarganya dan mereka yang dekat dengannya di bawah pemantauan,” kata Koca.

Beliau berkata diagnos awal telah dibuat dan jangkitan dalam Turki ketika ini adalah terhad.

“Satu atau dua kes tidak seharusnya dianggap epidemik,” kata Menteri Kesihatan Turki itu.

“Koronavirus tak kuat dari langkah pencegahan yang kita lakukan. Pesakit yang dikuarantin tidak boleh mengancam masyarakat.
 
“Tolong jangan ke luar negara kecuali tiada pilihan. Kita harus ikut garis panduan kementerian untuk bendung koronavirus,” katanya.

Turki menutup pintu sempadannya dengan Iran bulan lalu, antara negara terjejas teruk akibat wabak itu, selain menggantung penerbangan ke negara jirannya itu.

Koronavirus atau rasminya dikenali sebagai COVID-19, pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember lalu.

Lebih 4,260 kes maut akibat virus itu dengan 118,100 kes jangkitan dilaporkan di lebih 100 negara setakat ini. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply