TV ALHIJRAH LUAR BIASA, MENONGKAH ARUS DEPANI CABARAN

Oleh: Ardi Herman Mohd Mardzi

Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.
Sederhana di luaran, luar biasa di dalam.

2020 YANG TIDAK DIDUGA

1 Muharam 1442 Hijrah lalu, stesen TV Islam tanah air, TV AlHijrah mencapai usia 10 tahun. Sedekad yang memuatkan pelbagai kisah suka duka, jatuh bangun, dan tidak terkecuali kontroversi yang terpalit. Tidak dilupakan siri anugerah dan pengiktirafan sebagai menterjemah prestasi.

Cabaran lebih getir rupa-rupanya muncul tatkala industri media tempatan bahkan di peringkat global sekali pun, sedang bergelut dengan ketidaktentuan.

Ada yang tenat, ada yang terpaksa gulung tikar malah kedengaran juga yang memaksa siri pengurangan kakitangan dilakukan demi survival syarikat.

Lebih mengerikan, ‘makhluk’ tidak diundang yang berasal dari Wuhan, China yang kini menjadi ketakutan dunia, virus COVID-19 sejak awal tahun ini. Apa yang berlaku bagaikan malapetaka. Unprecedented.

Pandemik luar biasa kali ini benar-benar menguji. Daripada kaya-raya, kini tidak bergaji. Jalan raya yang sibuk, kini sepi. Pernah satu ketika, kota megalopolis Amerika Syarikat, New York pernah hampir menjadi bandar mati.

Itu cabaran dunia kini. Hanya Allah Maha Mengetahui.

COVID-19, ujian Allah yang menginsafkan

Ketika pergelutan dengan masalah ekonomi susulan pandemik yang tidak diingini, TV AlHijrah tidak terkecuali. Tempias mula dirasai.

Terpaksa akur dengan pentingnya survival industri, pelbagai formula dan eksperimen diterokai, memerah keringat mencari solusi. Pilihan paling tepat, melaksana transformasi.

“Proses transformasi dan pemulihan perlu bermula dari dalam, iaitu tekanan pimpinan utama (pengurusan dan anggota lembaga pengarah) yang membawa kepada perubahan budaya kerja, motivasi, hala tuju serta tahap ‘happiness’ bekerja kakitangan.”

Namanzee Harris,
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah

Diperakui ramai, TV AlHijrah pada awal penubuhannya amat diterima baik rakyat Malaysia, di atas keunikannya sebagai sebuah saluran TV Islamik, dengan elemen patuh syariah menerusi kandungan yang dipaparkan.

Pun begitu sepanjang sedekad yang dilalui, arus perubahan jelas dirasai. Teknologi semakin berkembang pesat. Impak digitalisasi semakin kuat mempengaruhi masyarakat.

10 tahun lalu juga, tidak sama sekali kita menjangka akan muncul wabak berbahaya yang memaksa ketetapan dibuat supaya semua orang jangan keluar rumah. Cuba bayangkan. Kelaziman baharu satu dunia.

Salah satu rutin 2020 penduduk dunia – sekatan jalan raya.
Adakah manusia dimurkai Allah? Masjid-masjid sedunia tidak dibuka sebagai mana biasa

Segala urusan pejabat, sebaik-baiknya dibuat di rumah sahaja. Anak-anak tidak boleh ke sekolah, masjid-masjid ditutup, tiada lagi acara keramaian besar-besaran, sehinggalah sekatan kemasukan orang luar ke dalam negara.

TV ALHIJRAH PLATFORM PENENANG

TV AlHijrah, sebagai salah satu saluran yang ‘junior’ berbanding organisasi media lain, turut terkesan dengan pandemik yang membinasa itu.

Pengurusan tertinggi TV AlHijrah terpaksa mencongak strategi baharu. Malah perlu menyedari bahawa peranan saluran TV itu bukanlah untuk meraih keuntungan dan rating semata-mata, malah lebih dari itu.

Menunai tanggungjawab memberi perkhabaran dari kerajaan kepada rakyat

Sebaliknya TV AlHijrah, melalui ‘nakhoda kapal’ yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, saluran TV itu ada tanggungjawab menenangkan rakyat Malaysia ketika ketakutan terhadap ancaman pandemik melanda.

“Apabila mereka tidak boleh keluar rumah, mereka tidak bersosial disebabkan ketakutan dengan virus pembunuh. Jadi TV AlHijrah perlu pastikan mereka buka TV dan kita siarkan program-program yang lebih mendekatkan kita semua kepada Allah. Dengan mengingati Allah, hati akan tenang.”

Namanzee Harris,
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah

Tanggungjawab itu tidak terhenti di situ sahaja. Survival TV AlHijrah sendiri tidak wajar diletak ke tepi, apatah lagi tatkala organisasi media lain mula bergelumang dengan proses pengecilan jumlah kakitangan, mengurangkan produksi dan penerbitan, sehingga ada yang ditutup terus. Dinoktahkan.

Maka perlu wujud strategi khusus dalam menentukan hala tuju terbaik buat TV AlHijrah ketika masalah COVID-19 melanda.

Niat membantu masyarakat perlu diteruskan. Fungsi sebagai platform penenang dan mendekatkan diri kepada Allah dipasak teguh oleh TV AlHijrah buat semua.

PIKUL PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

Maklum dengan kesengsaraan para peniaga kecil, usahawan dan syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), TV AlHijrah mengambil langkah berani dengan memperkenal pakej stimulus buat mereka.

Ditawarkan terus iklan percuma bagi yang berkelayakan untuk menghidupkan kembali perniagaan yang telah ‘nyawa-nyawa ikan’, angkara COVID-19.

Alhamdulillah, inisiatif berkenaan turut disokong oleh kerajaan serta organisasi perbankan dan kewangan yang ingin turut sama membantu rakyat yang berdepan kesusahan, lebih-lebih peniaga kecil dan sederhana.

Syukur sekali lagi. Sambutan luar biasa diperolehi. Ramai pengusaha kecil yang ditawarkan slot-slot percuma dan berpatutan kembali ‘bernafas’ malah berikrar untuk terus bekerjasama dengan TV AlHijrah.

Nikmat kebebasan sebelum ini ditarik seketika

Pada waktu sama dan ketika, rakyat Malaysia pula mendambakan program televisyen yang menenangkan jiwa, apatah lagi ketika mereka mula sedar kematian boleh datang bila-bila.

Melihat statistik korban akibat COVID-19 setiap hari, TV AlHijrah kekal berfungsi sebagai medan menjentik keinsafan diri, mengingatkan manusia bahawa hidup di dunia bersama virus korona adalah satu masa depan yang tidak pasti.

Langkah menerbitkan program My#Qurantime dilihat tepat pada masanya. Mereka yang berkurung di rumah, sekurang-kurangnya ada pengisian ilmiah yang membolehkan mereka lebih dekat dan mengenali Yang Maha Pencipta.

My#Qurantime, program menghayati
firman-firman Allah di dalam kitab suci
Hijrah Berselawat, mengharap syafaat melalui puji-pujian kepada Allah dan Rasul

Enggan tunduk dek ancaman kesihatan yang menggila, TV AlHijrah menerusi program-program Berita dan Ehwal Semasa kekal bersiaran langsung dari pagi hingga malam menjelma. Melunas tanggungjawabnya menjadi suara rakyat kepada pemimpin atasan, sentiasa pro-rakyat dalam usaha memastikan kerajaan yang prihatin ‘mendengar’ rintihan mereka. Inilah pelengkap kepada pengiktirafan TV AlHijrah yang dinobat ‘Media Islam Bertanggungjawab’ pada acara Global Halal Excellent Awards 2020, September lalu.

Bual bicara Assalamualaikum mewarnai pagi dengan kandungan motivasi serta ilmiah selain santapan rohani dan jasmani.
Berita AlHijrah kukuh sebagai antara lima program berita terbaik di Malaysia
Analisis, debat ilmiah mencari solusi isu semasa

#ALLAHJAGAKITA

Apa pun, dengan segala usaha yang dilakukan TV AlHijrah, mudah-mudahan dirahmati, diredhai dan diterima Ilahi. Niat murni berdakwah dan membantu masyarakat perlu diyakini bahawa akan diganjari Allah, jika tidak di bumi, mungkin di alam yang kekal abadi nanti.

TV AlHijrah dan warga kerjanya kekal berdedikasi, terus komited dengan memahami cabaran yang sedang ditempuhi. Pengurusannya giat merencana polisi, Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) serta cara kerja yang mengadaptasi keadaan dinamik cabaran kini.

Perkhabaran situasi semasa COVID-19 sentiasa disampaikan TV AlHijrah kepada rakyat Malaysia

“Menjelang 2021, TV AlHijrah mula memperkemas persekitaran ruang berkaryanya, yang menepati fungsi sebagai sebuah platform cara hidup Islam melalui penyampaian kreatif. Penjenamaan, penampilan, dan keseragaman fizikal sebagai sebuah entiti media mula diperhalusi.”

Namanzee Harris,
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah

Bangunan utama Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah diberi suntikan wajah yang lebih kemas. Hiasan dalaman kini memberi inspirasi untuk warga kerja kekal kreatif, berprestasi dan harmoni dalam memikul tugasan setiap hari.

Fasad bangunan Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah
Gambaran karya-karya kreatif warga TV AlHijrah sebagai pemanis mata penyambut tetamu

Mana mungkin, kakitangan yang tekad berbakti dilupai. Mereka juga ‘frontliners’ yang mengerah keringat setiap hari, bertugas hingga ke hujung minggu, pagi dan petang hingga dini hari. Giat mempelbagaikan kemahiran kendiri sebagai nilai tambah berharga kepada tuan empunya diri. Bertindak profesional, meraikan ‘teamwork’ sejati dengan semangat sinergi.

Penghargaan diberi sebagai mengganjari tugas dakwah yang begitu murni. Pengumuman khas melalui Townhall secara maya dibuat Ketua Pegawai Eksekutif, sesuatu yang telah lama dinanti. Jauh di lubuk hati, yakinlah, Allah Maha Pemberi Rezeki.

Program khas Belanjawan 2021 sempena pembentangan belanjawan negara.
Di sebalik tabir program siaran langsung – SOP elak jangkitan COVID-19 tetap dipatuhi
Sesi santai bersama pengurusan
medan kongsi pendapat dan pandangan

Inilah TV AlHijrah. Di sebalik situasi pandemik yang masih dalam ketidaktentuan, ia cekal menongkah arus, dan melalui proses transformasi yang sangat mencabar namun amat berkesan. Satu manifestasi sebuah organisasi berdaya tahan di saat dunia berdepan situasi sukar, malah luar biasa.

Semoga bahtera TV AlHijrah lebih kuat di akhir tahun ini, dan akan lebih padu mengharungi gelombang-gelombang yang mungkin menghempas dan mengganggu gugat pelayaran yang dilalui.

Dengan izin Allah, TV AlHijrah akan mampu terus kukuh dipasak nawaitu suci. Insha Allah. #AllahJagaKita

Penulis adalah Ketua Jabatan Berita & Ehwal Semasa, TV AlHijrah

Leave a Reply