KUASA REMAJA MEMILIH KERAJAAN

GAMBAR SEKADAR HIASAN (OLEH Manan VATSYAYANA / AFP).

Tidak lama lagi cadangan penetapan Kerajaan menurunkan minimum tahap usia pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun di negara ini akan dapat direalisasikan pada tahun 2021.

Perubahan dasar ini boleh disifatkan sebagai suatu tindakan yang bijak, berani dan mencabar.

Ia membuktikan suatu peralihan paradigma dalam proses perlembagaan negara yang mengiktiraf golongan belia muda atau remaja berusia 18 tahun sebagai pengundi muda yang baru pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan bersungguh-sungguh menguji golongan belia untuk mencabar diri menjadi warganegara yang bersedia menunaikan peranan mereka memilih pemerintah dengan berbekalkan rasa tanggungjawab dan bijak menafsir peradaban budaya politik di negara ini.

Dalam erti kata lain, belia muda kita akan mengalami cabaran menilai kematangan diri apabila golongan ini terlibat secara langsung dalam percaturan arena politik dengan lebih terbuka di negara ini.

Kalau dibandingkan dengan negara-negara lain seperti di Eropah, Amerika Latin dan Timur Tengah, tahap usia minimum remaja mengundi kebanyakannya dari umur 16 tahun. Malah beberapa buah negara seperti di Argentina, Austria, Brazil, Cuba, Ecuador, Nicaragua sudah pun mengamalkan tahap usia minimum pengundi ke paras 16 tahun.

Walau bagaimanapun,dalam konteks kebanyakan negara-negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi polemik dan menjadi bahan perdebatan dalam dasar pemerintahan sesebuah negara.

Indonesia, misalnya telah pun membuat ketetapan tahap usia pngundi muda seawal 17 tahun, berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara yang masih mengekalkan 21 tahun.

GAMBAR SEKADAR HIASAN (OLEH Mohd RASFAN / AFP)

Di Malaysia, jumlah penduduk berusia bawah 18 tahun di Malaysia pada 2019 mencecah 10 juta orang atau 30 peratus dan lebih kurang 3.7 juta pengundi dikuasai oleh golongan remaja seusia 18 tahun. Sudah pasti pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat.

Sejak kebelakangan ini beberapa kerajaan negeri seperti Sabah dan Sarawak telah pun meluluskan pindaan tahap usia ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.

Hal ini menunjukkan golongan belia muda akan mewarnai budaya politik dan mengisi tradisi kepimpinan politik negara tidak lama lagi.

Dalam keghairahan mencipta perubahan drastik ini, beberapa aspek yang perlu diperhatikan oleh kerajaan sebelum melaksanakan dasar penetapan umur mengundi tersebut, antaranya tahap kematangan remaja kita boleh dipersoalkan.

Ini kerana mereka terbatas kepada kandungan media sosial dan sangat bergantung kepada kuasa media tersebut untuk menyebar dan mempengaruhi pemikiran mereka menerusi lambakan maklumat yang boleh mengancam peradaban budaya mereka.

Banyak kajian membuktikan bahawa kebergantungan kepada media sosial boleh memberi implikasi negatif kerana mereka seakan tidak berpijak di dunia realti dan hanya menerima apa sahaja kandungan, terutama berkaitan dgn hal ehwal politik negara yang boleh dimanipulasilan oleh pihak-pihak tertentu utk mempropagandakan isu.

Kajian indeks petriotisme belia tahun 2019, misalnya menunjukkan tahap kesedaran belia terhadap kenegaraan masih rendah dan sudah pasti akan memberi kesan terhadap proses pembuatan keputusan dalam kalangan mereka, terutamanya berhadapan kesukaran untuk memilih parti politik penerajui kerajaan akan datang.

Kematangan belia muda dalam hal ini juga agak subjektif kerana pada usia sedemikian, remaja masih mencari-cari identiti mereka dan lebih terdorong kepada sifat-sifat emosi yang membolehkan mereka berfikir dan membuat keputusan.

Dikhuatiri sekiranya mereka terpengaruh dengan dakyah-dakyah isu politik yg dihadapkan kepada mereka di media massa, maka mereka boleh terkeliru dengan keputusan yang bakal mereka ambil.

Pada peringkat usia sebegini juga, remaja harus terdedah dengan ilmu keorganisasian, berpersatuan, mengenali sifat parti-parti politik sebagai satu kaedah mereka mematangkan fikiran mereka sebelum membuat keputusan mengundi atau memilih kerajaan memerintah.

Selain itu reformasi pendidikan harus dilaksanakan sejak peringkat bangku sekolah lagi. Subjek kenegaraan, sejarah Malaysia, sistem perlembagaan negara, perihal dasar-dasar negara, masyarakat negara ini perlu dijadikan subjek teras dalam kurikulum pendidikan negara.

GAMBAR SEKADAR HIASAN. (OLEH Mohd RASFAN / AFP)

Para pelajar harus dibimbing supaya mereka mempunyai cukup ilmu pengetahuan dan kefahaman menyeluruh berkaitan dengan hal-hal dan isu kenegaraan nasional.

Langkah kerajaan melancarkan penubuhan “Sekolah Pemimpin Masa Depan” (Malaysia Future Leaders School) menggantikan program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini merupakan satu langkah tepat bagi mendidik warga belia muda ini memupuk dan mengembangkan ilmu kepengurusan dan semangat patriotistme dalam kalangan mereka, terutamanya berhubung dengan hal-hal kenegaraan semasa.

Disyorkan organisasi-organisasi belia seperti Majlis Belia dan persatuan-persatuan belia dapat mengembangkan usaha untuk mendidik dan memimpin golongan remaja dalam hal-hal kenegaraan dengan lebih menyeluruh seperti mengadakan kempen-kempen pendidikan kenegaraan terancang dan aktiviti-aktiviti yang boleh membina semangat patriotisme dalam kalangan golongan ini.

Pemerkasaan peranan remaja dalam soal-soal kemasyarakatan dan kesukarelawanan komuniti sejak bangku sekolah seharusnya tersirat dalam agenda pendidikan nasional bagi membolehkan golongan ini dapat menerapkan pemahaman mereka terhadap keperluan masyarakat setempat dan kepentingan perjuangan budaya politik mengikut acuan citra negara yang positif.

Penyertaan politik dalam kalangan belia muda hari ini juga akan menyaksikan bahawa perjuangan mereka menghadapi ketidaktentuan dunia kerjaya akibat pandemik COVID-19 dan kegawatan sosio ekonomi akan menjadi agenda utama golongan ini merubah landskap politik hari ini yang tidak lagi dibataskan dengan kepentingan parti politik semata-mata.

Oleh yang demikian, menjadi suatu cabaran buat Kerajaan untuk memastikan bahawa risiko yang akan dihadapi untuk membolehkan remaja kita seusia 18 tahun dipertanggungjawabkan untuk memilih Kerajaan nanti akan dapat ditangani dengan bijaksana.

Sampai masanya nanti remaja kita bersedia untuk menggalas peranan dan amanah menjadi pengundi yang jujur dan memahami serta menyakini pilihan yang bakal mereka terjemahkan di peti-peti undi di kemudian hari.

Penulis adalah pensyarah kanan yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply