VAKSIN DI PANTAI TIMUR DIJANGKA SELESAI PADA OKTOBER

KUANTAN: Proses suntikan vaksin bagi penduduk di Pantai Timur dijangka selesai menjelang hujung bulan Oktober ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sasaran itu ditetapkan supaya tidak timbul masalah jika berlaku banjir di Pahang, Kelantan dan Terengganu pada musim tengkujuh.

Kerajaan katanya sedang menyusun jadual pengagihan bekalan vaksin dan berharap prosesnya diselesaikan mengikut jadual.

“Kita harap dapat selesaikan namun jika tidak berjaya kita akan lihat apa strategi untuk pemberian vaksin sewaktu musim tengkujuh,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu menaruh keyakinan kadar suntikan harian vaksin COVID-19 di Pahang mampu ditingkatkan daripada purata 5,000 sehari kepada 30,000 suntikan sehari sebaik bekalan vaksin diterima kerajaan Persekutuan.

Khairy Jamaluddin turut memberi jaminan kerajaan Pahang bakal menerima 440,000 dos vaksin COVID-19 bulan depan berbanding hanya 180,000 dos diterima bulan ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply