VISI MOHD CHAN KEKALKAN TAHAP TERTINGGI KUALITI MAKANAN

KUALA LUMPUR: Lebih 15 tahun beroperasi, Restoran Mohd Chan yang mempunyai 19 cawangan merupakan pilihan utama bagi mereka yang mencari masakan Cina Muslim.
Pengiktirafan halal, dimiliki orang Islam serta kepelbagaian masakan Cina di restoran tersebut berjaya menarik kunjungan ramai pelanggan termasuk bukan Islam.
Pengarah Urusan Mohd Chan Group, Datuk Mustafa Chan berkata walaupun telah dikenali ramai, restoran tersebut tidak mahu berada di zon selesa dan sentiasa berusaha menambah baik kualiti makanan dan perkhidmatan.
“Mohd Chan Group mempunyai visi untuk menjadi antara peneraju industri makanan di Malaysia dan perkhidmatan halal antarabangsa.
“Kita juga mempunyai visi untuk mengekalkan tahap tertinggi kualiti makanan mengikut piawaian halal,” katanya.
Selain itu katanya Restoran Mohd Chan juga mahu menyediakan orang ramai dengan pelbagai jenis makanan Cina muslim yang lazat dan inovatif, melayan pelanggan dengan baik dan membangun serta menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan hubungan dengan pelanggan.
Pengalaman perniagaan yang luas serta prestasi yang baik menyaksikan Restoran Mohd Chan telah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Jenama Paling Berpengaruh oleh World Muslimpreneur.

Mustafa berkata mengekalkan mentaliti bertenaga dan agresif adalah kunci kepada kejayaan Restoran Mohd Chan, walaupun telah bertahun-tahun dalam perniagaan.
Oleh itu beliau menasihatkan para usahawan untuk terus bersemangat dalam perniagaan, yakin kepada diri, dan memberikan segala yang mampu untuk memajukan apa yang diusahakan. – AlHijrah Online