KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga asing ditemukan maut selepas terjatuh di atas bumbung ‘foyer’ Pavilion Suites, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.57 pagi.
“Seramai 16 orang anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan mendapati terdapat seorang mangsa wanita telah terjatuh di atas bumbung ‘foyer’ Pavilion Suites dari tingkat yang tidak dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa telah berjaya dikeluarkan kira-kira jam 7.48 pagi dengan bantuan ‘skylift’ pihak bangunan terbabit.
“Anggota bomba menurunkan mangsa menggunakan kaedah teknik sistem ‘lowering’ sehingga diturunkan ke bawah dengan selamat.
“Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.—AlHijrah Online