WANITA WARGA EMAS RENTUNG DALAM KEBAKARAN PUSAT JAGAAN ORANG TUA

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas maut akibat rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah pusat jagaan orang tua di Seksyen 5, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.13 tengah malam sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran itu melibatkan sebuah pusat jagaan orang tua berkeluasan 50×100 kaki persegi, jenis bangunan struktur kelas A melibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keluasan keseluruhan bangunan.

“Semasa kejadian, seramai 14 penghuni termasuk penjaga telah bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

“Namun terdapat seorang mangsa perempuan rentung di dalam sebuah bilik di atas katil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Md Razali, kebakaran berjaya dipadam oleh orang awam sebelum jentera bomba sampai di lokasi kejadian. –AlHijrah Online

Leave a Reply