WARGA ASING TIDAK PAKAI PELITUP MUKA, TUNJUK ISYARAT LUCAH DITAHAN

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bukan warganegara yang tular selepas tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, suspek telah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk memberi keterangan setelah menyedari videonya tidak memakai pelitup muka tular di media sosial.

“Pihak polis kemudiannya telah menahan suspek berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Suspek merupakan warganegara Kanada berumur 44 tahun dan bekerja serta menetap di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini boleh tampil memberi maklumat atau menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran. – AlHijrah Online

Leave a Reply