WARGA EMAS BERPUTIH MATA, RUMAH DAN WANG TUNAI RM20,000 HANGUS

KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas hilang tempat berteduh selepas rumahnya di Kampung Losong Haji Awang, Kuala Terengganu hangus terbakar kira-kira jam 7.20 pagi tadi.

Kejadian itu turut mengakibatkan mangsa, Shafie Sulong, 74, kerugian kira-kira RM100,000 apabila semua peralatan rumah, wang tunai RM20,000 serta dua buah motosikal dijilat api.

Menurut mangsa, ketika kejadian anak lelakinya ketika itu sedang tidur dan mendengar bunyi letupan diikuti api yang sedang marak sebelum anaknya keluar menyelamatkan diri.

Dia yang ketika itu berada di kedai makan miliknya bergegas pulang ke rumah tetapi tidak sempat menyelamatkan kesemua barang berharga.

“Semua sekali tidak dapat diselamatkan. Motor ada dua buah habis terbakar dan ada lebih kurang RM20,000 (wang tunai),” katanya.

Kebakaran itu turut mengakibatkan dua rumah jiran Shafie yang terletak berhampiran turut terkesan.

Salah seorang jiran dilaporkan rugi lebih RM50,000 apabila 20 peratus bahagian rumahnya terbakar termasuk peralatan dapur, perabot dan barangan elektrik, manakala sebuah motosikal hangus terbakar.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Basri Kamarazaman, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.39 pagi.

Katanya sejumlah 44 pegawai dan anggota bersama empat jentera bomba dan satu jentera tangki air kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa 15 minit bagi mengawal kebakaran.

“Rumah yang terlibat adalah sebanyak tiga rumah iaitu rumah pertama terbakar 100 peratus, rumah kedua terbakar 20 peratus dan rumah ketiga terbakar 10 peratus,” kata Muhammad Basri.

Ujarnya keadaan rumah jenis kayu menyebabkan api terlalu cepat merebak dan punca kejadian serta nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan. — AlHijrah Online.

Leave a Reply