WEBINAR ISU UMAT ISLAM GLOBAL: PERANAN INSTITUSI ISLAM DAN ULAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) akan menganjurkan Webinar Isu Umat Islam Global : Peranan Institusi Islam dan Ulama pada 22 Oktober 2020 (Khamis), bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Seminar secara dalam talian itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary yang sekaligus melancarkan program Madrasah Ulama iaitu sebuah program keilmuan berbentuk tarbiyah dan dakwah kepada masyarakat secara dalam talian.

Menurut kenyataan JAWI, dalam program esok tokoh-tokoh ilmuan tanah air akan membincangkan dua topik menarik sepanjang webinar berkenaan iaitu ‘Kesatuan Ummah Mendepani Cabaran Semasa Global’ dan ‘Peranan Institusi Islam dan Ulama’ Mendepani Isu Global’.

Tokoh-tokoh ilmuan terlibat antaranya Mufti Wilayah Persekutuan Dr. Luqman Abdullah, Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail, dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz @ Saari,

Selain itu tokoh yang turut terlibat antaranya Datuk Prof. Dr. Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof. Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Mohd Azmi Abd Hamid dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Penyertaan webinar tersebut dibuka kepada masyarakat awam melalui pautan pendaftaran http://bit.ly/PendaftaranWebinarIsuUmatIslamGlobal dan peserta boleh mengajukan soalan awal sebaik melakukan pendaftaran dalam talian.

Webinar ini turut disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi JAWI.

Ujar kenyataan JAWI, penganjuran Webinar berkenaan bersesuaian dengan pelbagai isu dan cabaran yang sedang dihadapi oleh umat Islam dan institusi Islam khususnya dalam negara termasuk berdepan ujian wabak pandemik Covid-19. — AlHijrah Online.

Leave a Reply