WHO BIMBANG SITUASI DI IDLIB, 130,000 WARGA SYRIA LARI KE SEMPADAN TURKI

GENEVA: Hampir 130,000 orang awam hilang tempat tinggal di barat laut Idlib, Syria, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan badan dunia itu berkata, 12 juta orang memerlukan bantuan perubatan di Syria ketika pesawat rejim Bashar al-Assad dan Rusia terus membedil penempatan penduduk.

Setakat ini, 14 dispensari dan dua hospital ditutup dengan 42 fasiliti perubatan berdepan ancaman penutupan jika serangan udara diteruskan.

“Ketegangan ketenteraan di wilayah itu menyebabkan orang awam terkorban, cedera dan memburukkan situasi kemanusiaan,” kata Pemangku Pengarah Kecemasan Serantau Timur Mediteranian WHO, Richard Brennan.

Ketika tentera rejim dan Rusia meningkatkan serangan, lebih 2,000 orang awam melarikan diri dari Idlib dalam tempoh 24 jam lalu, demikian menurut sumber di lapangan yang enggan dinamakan.

Turki dan Rusia menjadikan Idlib sebagai zon de-ekskalasi pada September 2018 di mana sebarang tindakan keganasan adalah dilarang.

Sejak itu, lebih 1,300 orang awam terkorban dalam serangan tentera rejim dan Rusia ketika gencatan senjata terus dicabuli.

Lebih sejuta warga Syria melarikan diri ke sempadan Turki ekoran serangan meningkat sejak akhir tahun lalu.

Turki kini menjadi tempat berlindung untuk lebih 3.7 juta pelarian Syria sejak konflik meletus di wilayah itu pada 2011, menjadikannya negara hos pelarian terbesar di dunia.

Setakat ini, Ankara membelanjakan USD40 bilion untuk menampung pelarian Syria. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply