YAPEIM LANTIK KETUA PENGARAH BAHARU

KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Ridzal Mohd Sheriff sebagai Ketua Pengarah YaPEIM yang baharu berkuatkuasa 13 Ogos 2021.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, pengalaman luas yang dimiliki Mohd Ridzal diyakini akan dapat membantu meningkatkan lagi potensi YaPEIM.

“Dengan pelantikan seorang ketua pengarah yang berpengalaman luas seperti Mohd Ridzal, YaPEIM akan dapat meneruskan dan meningkatkan lagi potensinya serta kekal relevan dalam menyantuni masyarakat selaku sebuah institusi pembangunan sosio-ekonomi dan amal jariah yang sesuai dengan mandatnya untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ridzal, 56 tahun, memiliki pengalaman luas menjangkau 30 tahun dalam bidang perbankan dan pasaran modal, serta beberapa tahun di dalam agensi kerajaan.

Beliau memulakan kerjaya di D&C Nomura Merchant Bank Berhad dan pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa buah syarikat termasuk Infitodax (L) Pte Ltd, Deutsche Trustees (M) Berhad dan Malaysian Derivatives Clearing House Berhad.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kanan di institusi seperti Deutsche Bank Malaysia Berhad, Bursa Malaysia, dan Ultimate Futures Sdn Bhd.

Selain itu beliau pernah berkhidmat selaku Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). – AlHijrah Online

Leave a Reply