AHLI PARLIMEN PERLU SERAH NAMA CALON PM9 KEPADA ISTANA NEGARA SELEWATNYA RABU

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun telah memberi notis kepada semua Ahli Parlimen untuk menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9.

Dalam satu surat yang dikeluarkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat hari ini, Azhar berkata surat akaun itu hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya esok, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4 petang untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Katanya walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format tertentu tetapi ia perlu mempunyai butiran-butiran seperti berikut:

  1. Identifikasi Yang Berhormat yang secukupnya;
  2. Identifikasi yang secukupnya seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan oleh Yang Berhormat;
  3. Penyataam kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat;
  4. Tandatangan Yang Berhormat;
  5. Tandatangan serta cop rasmi saksi, sama ada seorang peguambela dan peguamcara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat yang berada di luar negara; dan
  6. Tarikh surat akuan.

Jelas Azhar surat akuan itu boleh dihantar melalui faks, emel atau salinan pdf melalui aplikasi Whatsapp.

“Serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan Pandemik COVID-19 di Istana Negara.

“Perlu dijelaskan, mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira,” katanya.

Azhar juga menegaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan tersebut sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan. – AlHIjrah Online

Leave a Reply