503 HARI YANG PENUH BERERTI – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil meluahkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan ke atasnya untuk memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Tempoh 503 hari atau 17 bulan 6 hari menyandang jawatan itu katanya penuh bererti.

“Amanah yang saya terima dengan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai senator dan menteri adalah tanggungjawab dan penghormatan yang dilaksanakan sedaya upaya saya. Menjunjung kasih atas kepercayaan tuanku kepada patik pacal yang senantiasa mendoakan kebaikan buat tuanku.

“Sekalung penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberi sepenuh keyakinan kepada saya untuk menyumbang kepada negara. Begitu juga tidak dilupakan rakan-rakan kabinet yang sentiasa memberi sokongan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua Pihak Berkuasa Agama Negeri yang memberikan kerjasama penuh bagi semua urusan hal ehwal Islam melibatkan persekutuan dan negeri demi manfaat rakyat khususnya umat Islam.

“RM591.9 juta telah diagihkan bermula Mac 2020 hingga hari ini melalui inisiatif #Musaadah sejak bermulanya pandemik COVID-19 oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya. Saya minta mereka teruskan walaupun saya telah tiada.

“Semua inisiatif kami sepanjang 2002-2021 akan saya bentangkan dalam minggu ini, insya-Allah. Rakyat perlu tahu ke mana setiap sen zakat, infaq, waqaf yang mereka salurkan melalui kami.

“Terjemahan Sahih al-Bukhari, Tafsir al-Qur’an al-Bayan dan Terjemahan al-Quran versi al-Bayan adalah hadiah buat seluruh umat Islam di Malaysia. Insya-Allah, tiga kitab yang pasti menempa sejarah dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini sedang dalam urusan percetakan. Saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Zulkifli turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kelemahan dan kekurangannya sepanjang berkhidmat sebagai menteri.

“Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan saya sepanjang 17 bulan 6 hari ini. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri. — AlHijrah Online

Leave a Reply