ZAKAT FITRAH DI PAHANG KEKAL RM7

Gambar hiasan. –Sumber: Arkib

PEKAN: Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang bagi tahun ini kekal RM7, dengan umat Islam digalakkan menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian susulan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata Sultan Pahang iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama Islam negeri, telah memperkenankan kadar bayaran itu.

Beliau berkata bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, seramai 930 amil telah ditauliahkan untuk melaksanakan urusan kutipan zakat di negeri ini, dan umat Islam dinasihatkan melakukan pembayaran hanya kepada amil yang dilantik.

“Namun, dalam usaha mengekang jangkitan COVID-19, kita menggalakkan umat Islam membuat bayaran secara dalam talian, iaitu melalui capaian ezakat.muip.gov.my,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Hairi juga memaklumkan mereka yang memungut zakat fitrah tanpa dilantik MUIP, boleh didakwa di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP), beliau memaklumkan kaunter kutipan zakat fitrah perlu berada di luar kawasan dewan solat utama dan perlu ditutup 15 minit sebelum azan serta dibuka kembali selepas solat fardu.

Katanya, kaunter kutipan zakat fitrah pada waktu malam pula hendaklah dibuka selepas selesai solat sunat tarawih dan witir manakala amil serta pembayar zakat perlu memakai pelitup muka ketika berurusan.

“Amil atau pembayar zakat yang bergejala tidak dibenarkan berurusan dan elakkan berjabat tangan ketika urusan pembayaran,“ katanya.

Ujarnya, waktu bayaran zakat fitrah boleh dilaksanakan di masjid atau surau bermula selepas solat subuh hingga 10.30 malam, namun perlu mendapatkan persetujuan pihak masjid atau surau sekiranya melebihi tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Ahmad Hairi berkata pihaknya menyasarkan sebanyak RM7.5 juta kutipan zakat fitrah tahun ini bagi membolehkan lebih ramai umat Islam dibantu kelak.

Tambah beliau, sempena Ramadan kali ini, MUIP akan mengagihkan sebanyak RM5.8 juta bagi bantuan menyambut Aidilfitri kepada golongan fakir miskin manakala saudara Muslim serta mualaf sebanyak RM1.7 juta.

“Di samping itu, MUIP akan mengagihkan sumbangan sebanyak RM4.2 juta kepada 676 masjid dan surau kebenaran Jumaat selain sumbangan kepada tiga masjid di Institut Pengajian Tinggi negeri ini iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply