ZUKI ALI DILANTIK PENGERUSI JAWATANKUASA PENGURUSAN HAL EHWAL ISLAM KEBANGSAAN MKI

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkuatkuasa 30 Jun 2022 hingga 29 Jun 2024, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau yang juga Setiausaha MKI berkata jawatankuasa itu telah dinaik taraf dari Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia (PKJ) yang sebelum ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.

“Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) kali ke-259 pada 30 Jun lepas berkenan untuk menaik taraf jawatankuasa ini, dan KSN diperkenan sebagai Pengerusi secara Ex-Officio berkuatkuasa mulai 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya penyampaian watikah pelantikan Mohd Zuki telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI pada 1 Sept lepas.

Hakimah berkata keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan Raja Pemerintah di negeri berkenaan, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan dua orang ahli yang dilantik oleh MKI dengan perkenan MRR.

Beliau berkata jawatankuasa yang diurusetiakan oleh JAKIM itu ditubuhkan bagi menyediakan platform untuk membincangkan perkara dasar berkaitan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia antaranya bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia pada tahap terbaik selari dengan undang-undang, dasar dan peraturan yang berkuatkuasa selaras dengan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. 

Jawatankuasa itu juga bertindak sebagai kumpulan pemikir yang menentukan dasar-dasar berkaitan tadbir urus terbaik hal ehwal Islam di Malaysia serta bertanggungjawab menyelaras dan mewujudkan keseragaman dalam pentadbiran dan pelaksanaan hal ehwal agama Islam di Malaysia.–AlHijrah Online

Leave a Reply