POKOK LANDSKAP DIPIJAK, DBKL RUGI RM700,000

Tangkap layar AlHijrah Online pada 31 Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan kerugian sebanyak RM700,000 selepas pokok landskap di sekitar ibu negara rosak dipijak pengunjung ketika sambutan Hari Kebangsaan 2022 Rabu lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, ia disebabkan kehadiran luar biasa pengunjung pada sambutan terbabit yang turut menyebabkan kesesakan teruk di sekitar ibu negara.

“Sebanyak RM700,000 kerugian dicatatkan membabitkan pokok hiasan yang rosak, ini risiko yang kita hadapi apabila menerima pengunjung yang ramai.

“Namun, kita sedang mencari jalan bagaimana nak menguruskan perkara ini dan ia cabaran yang perlu kita tangani,” katanya ketika ditemui pada Majlis Malam Penghargaan Media 2022 anjuran DBKL di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, selain kerosakan pokok hiasan, terdapat banyak sampah seperti botol minuman di tepi jalan dan kawasan landskap yang ditinggalkan oleh pengunjung pada hari tersebut.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial mengenai kesan kerosakan pada landskap selepas dipijak pengunjung yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2022 di ibu negara. –AlHijrah Online

Leave a Reply