ZULKIFLI KEMBALI BERTUGAS

KUALA LUMPUR: Selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 pada 14 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan beliau kembali menjalankan tugas hari ini.

“Alhamdulillah, hari pertama kembali bertugas. Saya disambut dengan meriah di lobi Kompleks Islam Putrajaya oleh para pengawal keselamatan dan kakitangan kebersihan.

“Terima kasih atas sambutan. Mereka adalah ‘unsung heroes’ yang sentiasa dekat di hati saya,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya.

Menurut Zulkifli, pada sebelah pagi beliau mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berhubung beberapa urusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Zulkifli hari ini dijangka akan menyertai Pertemuan Menteri-Menteri Hal Ehwal Agama dan Mufti-Mufti Negara-Negara Islam anjuran kerajaan Turki bagi membincangkan beberapa isu besar umat Islam.

Pertemuan tersebut akan dibuat melalui sidang video. — AlHijrah Online. 

Leave a Reply