EBIT LEW BELI AIR DUA LORI UNTUK DIAGIHKAN

KUALA LUMPUR: Sedih dengan masalah air yang menimpa penduduk di beberapa kawasan di Lembah Klang, pendakwah terkenal Ebit Lew membeli air dan diisi ke dalam dua buah lori tangki untuk diagihkan.

Menurut beliau, air tersebut telah diagihkan pihaknya bermula jam 10 malam semalam.

“Dari 10 malam kami keluar rumah uruskan sampai subuh dan sekarang masih belum selesai mengagihkan air di kawasan pinggiran Batu Caves.

“Bila saya tengok rumah saya tiada air. Saya cepat-cepat belikan air mineral untuk anak-anak. Saya fikir macam manalah orang di luar sana. Ya Allah. Sekali tengok orang beratur. Paling sayu pakcik makcik tua-tua nak air. Ada yang saya minta anak muda bersama saya bantu angkatkan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Dalam hantaran di Facebooknya Ebit Lew turut berdoa masalah ketiadaan air dipermudahkan Allah SWT.

“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ya Allah. Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua.

“Pohon doa yer. Ramai sangat yang minta tolong. Ada pusat dialisis dan klinik pun memerlukan. InsyaAllah doakan semuanya dimudahkan,” katanya. — AlHijrah Online

Leave a Reply