13,000 ORANG AWAM LARI DARI ZON DE-ESKALASI IDLIB, SYRIA

IDLIB: Kira-kira 13,000 orang awam melarikan diri dari barat dan selatan wilayah Aleppo susulan serangan rejim Assad dan sekutunya.

Agensi berita Anadolu melaporkan mereka melarikan diri ke kawasan berdekatan sempadan Turki susulan serangan yang berlangsung selama dua hari, memaksa sejumlah 12,884 orang awam meninggalkan rumah mereka, menurut Kumpulan Koordinasi Tindak Balas Syria.

Mereka yang melarikan diri daripada serangan udara rejim Syria adalah dari Khan al-Asal, Kafr Naha dan Ain Jara.

“Saya tinggal di kampung Khan al-Asal di luar bandar barat Aleppo. Kami lari dari serangan tapi kami tidak tahu ke mana hendak dituju. Mungkin kami akan pergi ke Dana di Idlib.” kata Ahmad Ali kepada Anadolu.

Abdul-Razzak Rahhal berkata: “Susulan serangan berterusan saya meninggalkan kampung saya bersama 19 ahli keluarga ke Khan al-Asal kerana ianya agak stabil. Tetapi sekarang mereka menyasarkan Khan al-Asal, kami akan meninggalkannya dan tidak tahu ke mana hendak pergi selepas ini,” katanya.

Ekoran bilangan mereka yang hilang tempat tinggal semakin meningkat, kem di Idlib gagal memenuhi keperluan pelarian Syria kerana tidak cukup ruang untuk memasang lebih banyak khemah. Beribu-ribu keluarga ketika ini amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Pada September 2018, Turki dan Rusia bersetuju untuk menjadikan Idlib sebagai zon de-eskalasi di mana sebarang tindakan agresif adalah dilarang.

Sejak itu, lebih 1,300 orang awam terbunuh dalam serangan oleh rejim dan tentera Rusia di zon de-eskalasi susulan pelanggaran gencatan senjata.

Lebih sejuta warga Syria berpindah ke sempadan turki susulan serangan berterusan sejak tahun lepas.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Turki telah mengambil kira kira-kira 3.7 juta rakyat Syria yang melarikan diri dari negara mereka menjadikan Turki sebagai negara penerima pelarian tertinggi di dunia. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply