22.7 JUTA PENDUDUK BELUM ISI BANCI MALAYSIA 2020

PUTRAJAYA: Respons Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) telah mencapai 10 juta penduduk atau 30.4 peratus berbanding anggaran penduduk tahun 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata dianggarkan seramai 22.7 juta penduduk atau 69.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi banci tersebut.

“Bagi memastikan semua penduduk Malaysia berpeluang untuk menjawab Banci Malaysia 2020, DOSM telah membuka semula platform e-Census (Banci Dalam Talian).

“Usaha ini juga adalah tanda sokongan kepada tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membendung penularan COVID-19 di kalangan penduduk Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu katanya, 320 ribu isi rumah yang telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian sepenuhnya.

Oleh itu pihaknya berharap agar semua penduduk Malaysia dapat memberi kerjasama dengan mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui http://www.mycensus.gov.my.

“Daripada dapatan 10 juta penduduk Malaysia yang direkodkan ini, 50.1 peratus ialah perempuan manakala 49.9 peratus ialah lelaki.

“Bagi statistik warganegara, etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 67.1 peratus, diikuti etnik Cina 26 peratus, India 6.3 peratus dan Lain-lain 0.6 peratus,” katanya.

Mohd Uzir menyeru semua penduduk untuk menjayakan Banci Malaysia 2020 dalam memastikan tiada rakyat yang ketinggalan demi masa depan negara dan kemakmuran bersama.

Ujarnya kejayaan negara dan kesejahteraan hidup yang dinikmati pada hari ini adalah hasil penyaluran maklumat penduduk daripada banci-banci terdahulu. – AlHijrah Online

Leave a Reply