24 KANAK-KANAK ANTARA 36 TERBUNUH DITEMBAK BEKAS ANGGOTA POLIS

BANGKOK: Seorang bekas anggota polis yang bersenjatakan senapang, pistol dan pisau menyerang sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut Thailand hari ini, dan menembak mati 36 orang dengan 24 daripadanya adalah kanak-kanak.

Menurut kenyataan Polis Thailand, lelaki bersenjata berusia 34 tahun yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah kenderaan, kemudiannya membunuh isteri dan anaknya sebelum menembak dirinya sendiri.

Dalam satu kenyataan, polis Thailand memaklumkan bahawa 24 kanak-kanak berusia antara dua hingga tiga tahun dan 12 dewasa terbunuh manakala 15 lagi cedera termasuk lapan kritikal dalam kejadian pada 1 tengah hari (waktu tempatan).

Sementara itu, Kolonel Polis wilayah Nong Bua Lam Phu, Jakkapat Vijitraithaya berkata, penyerang dikenal pasti sebagai Panya Khamrab, seorang bekas leftenan kolonel yang dipecat daripada jawatannya disebabkan penyalahgunaan dadah.

Tragedi itu berlaku kurang sebulan selepas dua anggota tentera terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di Kolej Tentera Diraja Thailand di daerah Dusit, Bangkok pada 14 Sept.

Dalam kejadian itu, seorang sarjan mejar berusia 59 tahun menembak mati dua rakannya di kolej berkenaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply