266 SEKOLAH AGAMA SWASTA DI JOHOR MASIH BELUM BERDAFTAR, DILULUSKAN PENUBUHAN

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan sebanyak 266 buah sekolah agama swasta di sekitar Johor yang masih belum berdaftar dan diluluskan penubuhannya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia membabitkan 31 buah sekolah tahfiz, 12 buah pondok agama, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.
“Sebagai makluman tambahan, JAINJ kini giat berusaha untuk memberi pendedahan tentang kewajiban mendaftar kepada institusi pendidikan peringkat prasekolah.
“Bagi sekolah-sekolah tahfiz yang ingin berdaftar dalam negeri Johor, sekolah itu perlu melalui beberapa proses kelulusan mengikut Kaedah-Kaedah Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1981,” kata beliau ketika menjawab soalan lisan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) pada persidangan DUN Johor hari ini.
Mohd Fared berkata JAINJ juga akan terus memantau dan membantu sekolah tahfiz yang mempunyai kekangan dalam mendapatkan kelulusan pendaftaran daripada pelbagai pihak.
Setakat ini, terdapat 37 sekolah agama swasta merangkumi kategori sekolah tahfiz, sekolah pondok, sekolah menengah Islam dan sekolah rendah Islam dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran penuh dan melengkapkan dokumen pendaftaran mereka, kata beliau.
Terdahulu, Gan bertanyakan bilangan sekolah-sekolah agama swasta yang tidak berdaftar dan proses pemutihan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. — AlHijrah Online