KEMAMAN: 46 murid dan empat guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Raudhatul Athfal, di Chukai, di sini, berdepan detik cemas apabila bangunan sekolah tersebut terbakar, pagi tadi.
Bagaimanapun kejadian yang berlaku di bangunan satu tingkat kira-kira pukul 10 pagi itu, tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Saariah Hassan berkata, seramai 18 anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Chukai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 10:09 pagi.
“Kebakaran melibatkan bangunan setingkat separa kekal yang terbakar kira-kira 70 peratus,
“Ketika anggota tiba, kesemua penghuni dalam premis berkenaan berjaya keluar dengan selamat dan api sedang marak,” katanya, hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api dari merebak dan punca kejadian serta kerugian dialami masih dalam siasatan.
Sementara itu, salah seorang guru, Nur Amyrah Salihah Mohd Yusoff berkata, ketika kejadian. 46 murid berusia empat hingga enam tahun sedang menikmati sarapan pagi selepas selesai mengaji dan solat.
Katanya, ketika kejadian dia berada di dapur dan penduduk yang kebetulan lalu di sekolah itu memaklumkan ruang atas bangunan yang menempatkan emapt kelas dipenuhi asap tebal.
“Saya dan tiga lagi guru bergegas membawa murid-murid keluar dari bangunan, kemudian melihat api menjulang tinggi menyambar seluruh ruangan bahagian atas bangunan.
“Walaupun kebakaran berlaku di bahagian atas bangunan yang merupakan ruangan kelas, kami bernasib baik kerana tiada sesi pembelajaran diadakan ketika kejadian dan semua penghuni berada di bahagian bawah,” katanya.
Tambahnya, kesemua buku-buku sekolah dan perabot hangus terbakar dan buat masa ini, mereka terpaksa bercuti buat sementara waktu.—AlHijrah Online