55 KALI KHATAM AL-QURAN

KUALA LUMPUR: Sebagai simbolik Sambutan Hari Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke 55, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah mengadakan program 55 kali Khatam Al-Quran melibatkan lima buah MRSM ulul albab di seluruh negara.

Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata program itu diadakan bagi menghayati perjuangan MARA dalam melahirkan modal insan profesional teknokrat disamping memperkukuhkan ilmu akhirat kepada pelajar-pelajar.

“Langkah-langkah yang diambil MARA amat bertetapan sekali kerana kita bukan sahaja menjaga perkara-perkara yang membabitkan duniawi seperti memberikan pendidikan dan mewujudkan usahawan tetapi kita juga mengingati hari akhirat.

“Para pelajar kita bukan sahaja dididik untuk mengetahui ilmu dunia tetapi juga untuk mengetahui ilmu akhirat jadi mereka menjadi insan-insan yang holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Khatam Al-Quran tersebut di ibu negara siang tadi.

Menurut beliau, program khatam Al-Quran ini diadakan dengan kerjasama lima buah MRSM ulul albab iaitu MRSM Kota Putra, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan; MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang; MRSM Sungai Besar, Selangor; dan MRSM Semporna Sabah.

Seramai 1650 orang pelajar terlibat dalam program kali ini yang mana mereka akan membaca satu juzuk Al-Quran setiap seorang.

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah mewakafkan 500 buah naskah Al-Quran kepada lima buah MRSM ulul albab termasuk 150 buah naskah untuk MRSM Bagan Datuk dan Bera. — AlHijrah Online

Leave a Reply