90 KELUARGA TERJEJAS KEBAKARAN TAPAK PELUPUSAN SAMPAH TERIMA BANTUAN RM1,000

GEORGE TOWN: Sebanyak 90 buah keluarga yang terjejas akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Ladang Byram, Nibong Tebal sejak 12 Januari lalu akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata, bantuan bencana itu akan diagihkan mulai minggu depan membabitkan 38 keluarga dari Ladang Bryam dan 52 keluarga dari Kampung Kebun Baru.

“Pejabat Daerah dan Tanah serta Jawatankuasa Bencana telah mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri dan memutuskan untuk memberi bantuan bencana sebanyak RM1,000 untuk disalurkan kepada penduduk yang diminta berpindah dari penempatan masing-masing,” katanya.

Ujarnya, wang bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban semua mangsa yang terlibat bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Buat masa ini, katanya semua penduduk masih belum dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing walaupun tahap pencemaran udara di kawasan sekitar tapak pelupusan itu dilaporkan bertambah baik.

Mereka sebelum ini diarah untuk mengosongkan rumah sejak Ahad lalu selepas 6.5 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar tapak pelupusan sampah itu terbakar yang dikhuatiri mendedahkan penduduk kepada gas beracun.

Sementara itu, Chow turut memaklumkan sembilan daripada 10 buah sekolah yang sebelum ini diarah tutup selama tiga hari dibenarkan beroperasi semula seperti biasa mulai Isnin ini.

Katanya, hanya sebuah sekolah yang masih diarah tutup iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram berikutan sekolah itu terletak paling hampir dengan kawasan tapak pelupusan sampah berkenaan. –AlHijrah Online

Leave a Reply