ABIM SYOR PINDA PERLEMBAGAAN HARMONIKAN MAHKAMAH SYARIAH, SIVIL

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesyorkan pindaan Perlembagaan Persekutuan sebagai langkah penyelesaian dalam usaha mengharmonikan kedua-dua bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
Di samping itu, ABIM menerusi memorandumnya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, pada masa sama pemerkasaan Mahkamah Syariah juga perlu diteruskan.
“Wujud keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan “undang-undang jenayah” dalam Senarai III – Senarai Bersama Persekutuan & Negeri, Jadual Kesembilan, dengan menzahirkan kesalahan jenayah Syariah berada dalam bidang kuasa negeri.”
Menerusi pindaan itu, ABIM mengesyorkan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kuasa untuk menggubal, meminda serta menguatkuasakan sesuatu undang-undang jenayah dalam ruang lingkup kesalahan jenayah Syariah.
Ia berikutan dalam peruntukan undang-undang sedia ada, sememangnya terdapat beberapa kesalahan yang diletakkan di bawah kedua-dua bidang kuasa iaitu Enakmen Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan seperti kesalahan sumbang mahram, pelacuran, hubungan seks sesama jantina, hubungan seks luar tabii dan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
“Justeru, menerusi langkah memasukkan ‘undang-undang jenayah’ dalam Jadual Kesembilan Senarai III – Senarai Bersama dengan batasan untuk kesalahan Syariah akan menyelesaikan kekangan yang dinyatakan dalam kes di atas.
“Langkah pengharmonian ini juga sejajar dengan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Lagi [1999] 2 MLJ 241 yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang antara Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri boleh wujud secara bersama atau ‘co-exist’.”
Bagaimanapun, menurut ABIM, seperti yang dinyatakan, batasan kesalahan yang hanya dalam ruang lingkup jenayah Syariah perlu dijelaskan agar tidak timbul sebarang polemik dan salah faham pada masa akan datang.
Seiring dengan usaha pengharmonian itu, usaha penambahbaikan urusan merangkumi pentadbiran dan pelaksanaan Undang-undang Syariah harus ditingkatkan.
Terdahulu ABIM, menerusi Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyerahkan memorandum Pengharmonian Bidang Kuasa Undang-Undang Syariah dan Sivil: Dukungan dan Penyelesaian kepada Mohd Na’im di Putrajaya.
Memorandum oleh ABIM itu menyusuli titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin, yang menzahirkan keprihatinan baginda tentang kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta isu bidang kuasa Mahkamah Syariah yang masih menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu. –Alhijrah Online