TH TERBUKTI TIDAK DIJUAL KEPADA BUKAN ISLAM – MUJAHID

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata episod fitnah terhadapnya berhubung aset Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam, telah berakhir.
Ia selepas bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menarik balik rayuan saman fitnah terhadapnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya berkaitan isu aset TH.
“Dengan penarikan balik rayuan tersebut, maka berakhir episod fitnah sekian lama khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahawa aset TH dijual kepada orang bukan Islam,” kata Mujahid dalam satu hantaran di Facebook.
Ahmad Dusuki sebelum ini menfailkan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap Mujahid berhubung satu ciapan bekas menteri itu dengan menuntut permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Pun begitu pada tahun lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah itu dan Ahmad Dusuki diarahkan membayar kos berjumlah RM11,000 kepada Mujahid.
Ahmad Dusuki kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi kemudian ditolak dengan kos RM7,000 dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya sebelum menarik balik permohonannya.
Menurut Mujahid, Mahkamah Tinggi telah mengesahkan ciapan beliau mempunyai justifikasi kerana ia satu tindak balas terhadap kenyataan Ahmad Dusuki bahawa TH telah menjual aset hotel kepada orang bukan Islam dan ia dosa yang perlu ditanggung sehingga akhirat.
“Terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.
“TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” katanya.
Beliau dalam pada itu bersyukur namanya dibersihkan dan berharap fitnah berkaitan TH berakhir.
Untuk rekod, TH ketika itu diterajui Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya iaitu Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof. — AlHijrah Online