AFGHANISTAN DI BAWAH TALIBAN: MAJU ATAU MUNDUR?

Tanggal 15 Ogos lalu, Taliban menguasai Kabul. Dua puluh tujuh hari kemudiannya pada 11 September 2021, kumpulan terakhir tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Afghanistan selepas 20 tahun kempen ‘perang memerangi keganasan’ dicanangkan AS kepada dunia.

Titik tolak campurtangan negara kuasa besar itu adalah insiden serangan ke atas bangunan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001 didalangi Al-Qaeda dan Afghanistan pula diperangi kerana menjadi sarang persembunyian kepada militan Al-Qaeda.

AS kata objektif mereka dalam perang memerangi keganasan tercapai selepas Osama bin Laden dibunuh pada 2011. Presiden AS Joe Biden menegaskan masa depan Afghanistan kini terletak di tangan rakyatnya selepas 20 tahun peperangan yang mengorbankan ratusan ribuan nyawa.

Dalam tempoh 20 tahun itu jugalah Afghanistan tidak sunyi dari insiden pengeboman, serangan, penculikan dan pembunuhan, mendaki tangga korupsi dunia. Pada 2010, Afghanistan menjadi negara ketiga paling korup di dunia mengikut indeks rasuah dikeluarkan Transparency International.

Kini dengan pengunduran tentera AS, dunia kembali mengambil tahu tentang negara yang diberi jolokan “the graveyard of the empires’. Tidak keterlaluan jika dikatakan yang Afghanistan adalah negara yang tidak terkalahkan.

Petang 24 September lalu, penulis melewati ruang udara Afghanistan dari Islamabad, Pakistan. Pemandangan dari udara membuktikan bahawa gunung ganang dan banjaran Hindu Kush yang melingkungi negara yang terletak di Asia Tengah dan Asia Selatan itu adalah ibarat kubu semulajadi yang menjadikan Afghanistan sukar ditakluki.

Suatu ketika dulu di penghujung 1970-an hingga akhir 1980-an, kawasan pergunungan inilah menjadi kubu persembunyian pejuang mujahidin yang kemudiannya mengalahkan tentera komunis soviet “red army”.

Kini selepas empat dekad perang saudara dan peperangan ke atas kuasa asing, tampuk kepimpinan Afghanistan kembali ke tangan Taliban yang suatu ketika dulu (1996-2001) pernah memerintah negara konflik itu.

Ketika itu, pemerintahan Taliban dikecam masyarakat dunia kerana dasar keras ke atas golongan wanita yang dipinggirkan sepenuhnya dari masyarakat. Golongan wanita juga dinafikan akses kepada pendidikan dan pekerjaan.

Selepas menjejaki bumi Afghanistan pasca kerajaan baru Emeriyah Islam Afghanistan yang diumumkan dua minggu lalu, penulis mendapati terdapat anomali (keluarbiasaan) kepada pandangan penduduk di sini.

Misalnya pandangan sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Naemmullah (bukan nama sebenar) yang menyalahkan negara kuasa asing yang membekukan USD9.5 bilion aset Afghanistan tetapi pada masa sama tidak mahu ia dilepaskan kepada kerajaan semasa.

Individu sama mengakui yang Afghanistan dan 40 juta populasinya, termasuk beliau sendiri yang sudah empat bulan tidak menerima gaji, terkesan dengan ekonomi Afghanistan yang semakin meruncing kerana kerajaan tiada wang.

Bank tempatan mengehadkan pengeluaran USD200 seminggu bagi setiap pelanggan. Ini menerangkan kenapa ramai penduduk yang berkumpul berhimpit-himpit di depan bank saban hari untuk mengeluarkan wang.

Waktu bekerja juga dikurangkan dari 10 pagi hingga 4 petang kepada waktu bekerja baru iaitu 10 pagi hingga 1 petang setiap hari. Pun begitu, kehadiran Taliban dikatakan meningkatkan tahap keselamatan dan tidak ada lagi kecurian atau jenayah kecil.

“Keselamatan makin baik selepas Taliban kembali menguasai Kabul dan Afghanistan, tapi keadaan ekonomi pula semakin teruk,” kata Abdul Fatah Jawal juga dari sebuah NGO yang berpangkalan di bandar Kabul.

Isu ekonomi adalah isu meruncing di Afghanistan dan menunggu masa untuk meletup. Bukan hanya gaji kakitangan kerajaan, kerajaan sementara Emeriyah Islam Afghanistan yang diketuai Mullah Mohamad Hasan Akhund juga dikatakan berdepan kesukaran untuk menampung kebajikan pejuang-pejuangnya.

Difahamkan kerajaan Emeriyah Islam Afghanistan bergantung kepada sedikit simpanan yang ada selain kutipan cukai import/eksport barangan melalui pintu sempadan negara-negara jirannya seperti Pakistan dan Iran.

Setakat ini, hanya 10 negara ‘mengiktiraf’ kerajaan sementara Emeriyah Islam Afghanistan diterajui Taliban. Masyarakat dunia selebihnya masih mengambil sikap tunggu dan lihat dengan tindak tanduk Taliban 2.0 yang dilaporkan lebih terbuka walaupun media antarabangsa terus menjadikan isu hak wanita sebagai ‘peluru’ membelasah Taliban.

Pengalaman penulis di Kabul menyaksikan sendiri bagaimana laporan media barat yang mengatakan golongan wanita disisihkan dari masyarakat adalah tidak benar dan hanya menebalkan Islamofobia.

Ketika zaman Taliban 1.0 (1996-2001), wanita langsung tidak dibenarkan keluar dari rumah, tetapi perkara itu berbeza sekarang (ada wanita di jalanan dan bekerja tetapi dengan penekanan memakai hijab).

Pun begitu, tindakan kerajaan menukar nama kementerian wanita dan menyekat pelajar perempuan (sekolah menengah) ke sekolah kerajaan dilihat “kegagalan” Taliban untuk memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang lebih besar di mata dunia dan rakyatnya iaitu ekonomi.

Sidang Kuala Lumpur Mengenai Afghanistan 2021 kelmarin dalam resolusinya menyatakan keutamaan kepada Afghanistan adalah membentuk kerajaan inklusif dan berfungsi yang perlu memenuhi keperluan asas rakyat, menjamin keamanan dan keselamatan selain membantu membangunkan semula Afghanistan dan ekonominya.

Afghanistan terlalu kompleks, memahaminya juga memerlukan masa. Ia sebuah negara dengan etnik/tribe yang pelbagai dari Pashtun, Tajik, Hazara, Uzbek, Aimaq, Turkmen, Baloch dan lain-lain).

Tanpa bantuan dan sokongan dunia, Emeriyah Islam Afghanistan akan berdepan cabaran bukan hanya untuk menguruskan negara itu tetapi untuk memastikan adanya makanan di atas meja bagi setiap rakyatnya.

Maju atau mundur Afghanistan dan rakyatnya kini bergantung kepada keterbukaan kerajaan Emeriyah Islam Afghanistan dan tindakan masyarakat dunia untuk mendekati Taliban dengan penuh kebijaksanaan. — AlHijrah Online

Syed Azwan Syed Ali yang kini berada di Kabul, Afghanistan bagi menyertai misi kemanusiaan Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) mempunyai lebih 16 tahun pengalaman dalam kewartawanan, khususnya liputan di zon konflik dan bencana.

KREDIT GAMBAR: SYED AZWAN SYED ALI DAN MUSLIM VOLUNTEER MALAYSIA (MVM).

Leave a Reply