BAYARAN BPR FASA 3 BERMULA 28 SEPTEMBER

KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 28 September 2021 secara berperingkat dan dijangka selesai pada 30 September 2021
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran ini akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan, melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.
“Untuk fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak.
“Pembayaran fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.
Orang ramai boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Ismail Sabri berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela. – AlHijrah Online