AGONG ZAHIR RASA KECEWA DENGAN POLITIK SEMASA

KUALA LUMPUR: Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022 .

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya.

Menurut beliau Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Negara semalam.

Katanya dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pada jam 12.00 tengah hari itu, perdana menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022.

“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan perdana menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14,” katanya.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan PRU15 diadakan.–AlHijrah Online

Leave a Reply