MARAN: Seorang guru Sekolah Menengah Agama (SM) Al-Basriah Kuala Tembeling, Jerantut maut semasa dalam perjalanan pulang ke rumah apabila kereta dipandunya bertembung lori mesin gerudi, di Jalan Besar Jengka 20, di sini hari ini.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9:30 pagi itu melibatkan mangsa Nurfarah Izyan Ismail, 28, yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi bertembung dengan lori jenis Isuzu, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta itu dalam perjalanan dari tempat kerja di sekolah terbabit ke rumahnya di Sungai Gau, Temerloh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta tersebut telah hilang kawalan dan masuk arah bertentangan dan bertembung dengan lori.
“Kemalangan menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat manakala pemandu lori iaitu lelaki berusia 51 tahun patah paha kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya dua penumpang lelaki berusia 25 dan 45 tahun mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang, lelaki berusia 53 tahun tidak cedera.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut dan bedah siasat dijalankan di hospital sama.
“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.—AlHijrah Online