AKTA SEDIA ADA MENCUKUPI UNTUK DENDA INDIVIDU HINA ISLAM – IDRIS

Datuk Idris Ahmad –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Akta-akta sedia ada sudah mencukupi untuk mengenakan denda terhadap individu yang menghina agama Islam sebagai Agama Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Senator Idris Ahmad.

Bercakap sebagai tetamu dalam program BERNAMA Radio ‘Jendela Fikir – Bangkit Menentang Penghinaan Agama’ hari ini, beliau berkata antaranya Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

“Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga digunakan untuk individu yang melakukan perkara menimbulkan ketidakharmonian dan ketenteraman orang, dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun, atau kedua-dua sekali.

“Akta Hasutan 1948 (Akta 15) pun sudah ada, ia juga mengenakan hukuman kepada individu yang menghina agama ini dengan penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kejadian penghinaan agama Islam dalam negara yang semakin menjadi-jadi, antaranya seorang model memperagakan fesyen yang menampakkan bahagian dada serta berseluar pendek sambil memakai songkok di Minggu Fesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, tindakan berdasarkan akta-akta berkenaan adalah supaya hal penguatkuasaan agama kuat dan ketenteraman agama wujud secara baik dalam negara, di samping memudahkan umat Islam melakukan ibadat.

Dalam pada itu, beliau dalam catatan di laman Facebook menasihatkan orang ramai supaya sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum usah dibuat bahan mainan.

“Masyarakat Islam kita cukup marah dan kecewa. Usahlah kita berperilaku yang melanggar dengan ajaran agama, adat ketimuran dan tatasusila. Pastikan untuk sentiasa berfikir panjang sebelum melakukan apa-apa perbuatan,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap individu tersebut supaya perkara ini dapat dibendung dan dijadikan pengajaran kepada semua pihak. –AlHijrah Online

Leave a Reply