AKTIVITI RENTAS DAERAH DAN NEGERI DIPERKETATKAN JIKA PKP DIKUATKUASA

Sumber Gambar: BERNAMA

JOHOR BAHRU: Pergerakan rentas daerah dan negeri boleh dikuatkuasakan dengan lebih ketat sekiranya peningkatan penularan wabak COVID-19 di dalam negara terus meningkat.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Adham Baba turut mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) yang lebih memberi kesan kepada pemulihan penularan wabak berkenaan.

Adham turut mengakui peningkatan kes mendadak akhir-akhir ini membabitkan kes rentas daerah dan negeri, selain ketidakpatuhan orang ramai dengan SOP yang ditetapkan.

“Kementerian menasihatkan KKM untuk lebih berusaha untuk memperketatkan SOP dan juga menjalankan penguatkuasaan yang lebih tersusun disamping menghadkan aktiviti rentas daerah dan negeri.

“Kes kebelakangan meningkat kerana ada banyak rentas daerah dan rentah negeri,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, pagi tadi.

Tambah Adham, pihaknya mendapati ada kes yang meningkat di kawasan yang penduduknya padat dengan pergerakan mudah termasuk di Johor, Selangor, Pulau Pinang dan juga Sabah.

Kementerian katanya telah bersedia meningkatkan keupayaan dari pelbagai sudut, termasuk keperluan doktor-doktor pakar sedia ada.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin nanti, mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.–AlHijrah Online

Leave a Reply