AKTIVTI NEELOFA DAN SUAMI DI LANGKAWI DISIASAT

GAMBAR ARKIB

LANGKAWI: Artis dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor,32, dan suami Muhammad Haris Mohd Ismail,26, akan disiasat berhubung gambar dan video yang tular memaparkan aktiviti pasangan itu di Langkawi.

Lapor Sinar Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berdasarkan video dan gambar yang dimuat naik di media sosial pasangan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Apabila keluar sahaja gambar-gambar tersebut, maknanya kehadiran beliau (Neelofa) bersama suaminya itu melanggar SOP yang ditetapkan dan kita akan ambil tindakan.

“Jadi, dalam kes sebegini, wajarnya SOP polis adalah buka kertas siasatan yang mana dia (Neelofa) akan dipanggil untuk dirakamkan kenyataan termasuk berhubung gambar dan video yang viral,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seksyen K9 Langkawi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, pada Ahad.

Tambah beliau pegawai penyiasat akan mengenal pasti adakah aktiviti yang dilakukan pasangan itu sebahagian urusan perniagaan selebriti terbabit.

Sebelum ini pasangan baru berkahwin itu dilaporkan berada di Langkawi atas urusan kerja seperti dimaklumkan pembekal makanan dan minuman Chatime Malaysia Sdn Bhd.

Pasangan itu dilaporkan sedang melakukan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu. — AlHijrah Online

KREDIT: SINAR HARIAN

Leave a Reply