MUHYIDDIN BERTEMU SULTAN BRUNEI

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Cheradi Ratna Kenchana, Brunei.

Pertemuan sekitar jam 11.10 pagi dan berakhir sekitar jam 12.25 tengah hari itu sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.

Antara yang dibincangkan ketika pertemuan mengenai hubungan dagang dan kerjasama pasca COVID-19 serta turut menyentuh hubungan khas dua hala sedia ada.

Juga disentuh cadangan mewujudkan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), memulakan kerjasama dalam diplomasi vaksin antara kedua-dua negara dan mempromosikan kerjasama erat dalam bidang ekonomi serta isu serantau dan antarabangsa.

Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah kemudian menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian.

MoU mengenai kerjasama dalam pengurusan bencana antara dua negara ditandatangani oleh Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Datuk Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Perjanjian Penyatuan antara Petronas dengan Sekretariat Penyatuan Nasional Brunei (BNUS) dalam sektor minyak dan gas pula akan dimeterai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan pemangku Menteri Tenaga Brunei Datuk Seri Paduka Awang Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Lawatan dua hari Muhyiddin ke Brunei dijadual berakhir hari ini dan beliau akan menghadiri Persantapan Rasmi di Istana Nurul Iman sebelum pulang ke tanah air. — AlHijrah Online

Leave a Reply