ANAK PENYU BERKEPALA DUA DITEMUKAN DI TANJONG JARA

Sumber Gambar: Facebook Lang Tengah Turtle Watch

KUALA TERENGGANU: Seekor anak penyu agar berkepala dua yang baharu menetas ditemukan sekumpulan sukarelawan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort di Dungun, Selasa lepas.

Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort Abidah Zaaba berkata anak penyu itu ditemukan semasa sukarelawan sedang melakukan pemeriksaan sarang di tapak projek itu pada hari tersebut.

“Mula-mula kita ternampak badan dan kepala anak penyu di celah-celah pasir yang cuba keluar dari sarang, ingatkan macam penyu biasa. 

“Tapi bila dah keluar seluruh anggota badan, baru perasan rupa-rupanya anak penyu itu mempunyai dua kepala,” katanya kepada pemberita di Dungun, petang semalam.

Beliau berkata sarang tersebut mempunyai 110 biji telur dan hanya 89 biji telur yang berjaya menetas termasuk anak penyu yang berkepala dua itu. 

Menurut Abidah, ia adalah penemuan pertama anak penyu berkepala dua yang masih hidup di pusat penetasan tersebut sejak ia mula dibuka pada 2016. 

Katanya pada Jun tahun lepas, mereka pernah menemukan anak penyu berkepala dua, namun ia telah mati.

Dalam pada itu Lang Tengah Turtle Watch dalam laman rasmi Facebook mereka ketika mengumumkan penemuan anak penyu itu memberitahu kejadian itu dikenali sebagai Dicephalism iaitu sesuatu yang jarang berlaku terhadap penyu.

Menurut hantaran itu lagi, kedua-dua kepala anak penyu itu berkongsi morfologi yang sama dan bertindak balas secara berbeza kepada rangsangan luar.

“Walaupun koordinasi pergerakan penyu itu terganggu, kepala kanan jelas dominan. 

“Sisik muka pada setiap kepala adalah berbeza, bermakna ia boleh dikenal pasti sebagai haiwan berbeza melalui teknik pengenalan gambar,” menurut kenyataan itu.

Namun, menurut hantaran itu lagi kebiasaannya penemuan luar biasa seperti itu tidak mempunyai jangka hayat yang lama.

Sementara itu Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang Sharum Yusof berkata biasanya anak-anak penyu normal yang menetas di pusat penetasan akan dilepaskan terus ke laut.

“Tapi jika ada penemuan luar biasa seperti anak penyu berkepala dua ini, ia seeloknya diserahkan kepada pihak berkaitan untuk penjagaan dan rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai penemuan anak penyu tersebut dan ia telah diserahkan kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang di bawah Pejabat Perikanan Negeri Terengganu.–AlHijrah Online

Leave a Reply