ANAK PUKUL WARGA EMAS OKU DIREMAN

BACHOK: Seorang warga emas dipercayai dipukul dengan kayu oleh anak lelakinya selepas tidak memberikan RM10 yang diminta untuk membeli makanan.

Warga emas, 62, yang juga orang kelainan upaya (OKU) itu dipukul oleh anaknya, 34, sehingga berdarah dan patah tangan di hadapan rumah mereka di Kampung Dusun Durian, Bekelam di sini, pada jam 11 pagi, 17 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa mengalami kecederaan sehingga patah pergelangan tangan kanan dan luka di kepala sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Machang.

Mangsa juga menerima sembilan jahitan di kepala akibat pukulan anaknya itu.

“Kejadian disedari seorang lagi anak lelaki mangsa, 32, yang ketika insiden berada di Kedai Lalat, Kota Bharu. Anak mangsa mendapat panggilan daripada abangnya yang juga suspek kejadian yang memaklumkan dia memukul ayah mereka.

“Anak mangsa terus pulang ke rumah untuk melihat keadaan ayahnya dan mendapati warga emas itu cedera akibat dipukul sebelum membawa ayahnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, laporan polis dibuat lambat pada Khamis lepas berikutan ayahnya simpati dengan suspek dan bimbang polis akan menangkapnya.

Bagaimanapun mangsa tampil membuat laporan selepas dipujuk dan bimbang akan keselamatan diri.

Susulan laporan dibuat, suspek ditahan pada jam 5 petang pada hari yang sama bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 326/326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Hasil semakan terhadap suspek mendapati dia mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah namun hasil ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif.

“Polis juga merampas kayu yang digunakan suspek dan mendapati ia patah dua dipercayai selepas digunakan untuk memukul mangsa,” katanya.

Suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga Khamis depan.—AlHijrah Online

Leave a Reply