ARAB SAUDI KECAM TINDAKAN PROVOKATIF KOYAK AL-QURAN DI BELANDA

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang pelampau di Belanda yang mengoyak senaskhah al-Quran sebelum memijaknya dalam satu kejadian berhampiran Parlimen Belanda, di The Hague. 

Menurut kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi di akaun Twitter pada Rabu, tindakan itu dianggap sebagai provokatif terhadap berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia.

Perbuatan itu dilakukan oleh Edwin Wagensveld, pemimpin kumpulan pelampau Pegida Belanda pada Ahad lepas. 

Provokasi di Belanda itu menyusul selepas tindakan membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, ibu negara Sweden pada Sabtu oleh ekstremis anti-Islam Denmark, Rasmus Paludan.

“Pendirian kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Luar tetap utuh dalam menyeru semua ke arah berdialog, bertoleransi sesama insan dan menolak unsur-unsur kebencian dan ekstremisme,” menurut kementerian itu.

Pada masa sama, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut mengecam tindakan yang dilakukan oleh pelampau di negara itu.

Jabatan itu dalam kenyataannya pada Rabu turut menolak secara mutlak sebarang perkara dan cubaan yang memudaratkan kesucian Islam dan syariatnya.

“Tingkah laku seperti ini telah menyinggung perasaan umat Islam selain memburukkan konsep kebebasan dan nilai kemanusiaan. Dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan secara sengaja terhadap al-Quran,” menurut jabatan itu.

Jabatan itu juga menegaskan betapa pentingnya nilai dialog, toleransi dan kewujudan bersama dan tindakan sebegini hanya akan meningkatkan keimanan umat Islam kepada Allah dan kitab suci al-Quran.

Sebelum ini, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Stockholm, Sweden.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga menggesa Kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

Pada Selasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan kebimbangannya terhadap “manifestasi berterusan sikap tidak bertoleransi dan kebencian agama terhadap umat Islam di banyak tempat di dunia” dan menggesa kerajaan terbabit supaya mengambil langkah untuk menangani Islamofobia.–AlHijrah Online

Leave a Reply