MAKKAH : Menteri Umrah dan Haji Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al Rabiah mencadangkan kepada rakan sejawatnya di Iraq supaya mempelajari model pengurusan dan bimbingan jemaah haji daripada Tabung Haji (TH).
Berkongsi perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia membuktikan kecemerlangan TH terus dikagumi dan sentiasa menjadi rujukan penting buat negara Islam lain.
“Dr. Tawfiq telah ‘promote’ Tabung Haji khususnya dalam konteks latihan yang diberikan kepada jemaah haji di Malaysia dan beliau telah meminta kepada menteri yang bertanggungjawab kepada urusan haji di Iraq untuk bertemu dengan saya dan juga pengerusi TH dan pengurusan tertinggi Tabung Haji, untuk belajar macam mana jemaah haji di Malaysia mengikuti kursus-kursus silibus sebelum mereka ini melanjutkan ataupun mengerjakan haji.
“Banyak negara telah menjadikan TH sebagai sumber rujukan untuk bagaimana menjadi agensi yang mampu menguruskan jemaah secara sistematik dan tersusun.
“Ada juga negara yang berjaya membentuk agensi seperti TH dalam mengurus dan membimbing jemaah mereka,” katanya.
Mohd Naim berkata demikian kepada kru Berita Al Hijrah selepas menandatangani Memorandum Aturan Urusan Haji bagi 1445H di hotel Assila, Tahlia, Jeddah, baru-baru ini.
Antara kandungan memorandum berkenaan termasuklah aturan pengangkutan,
penginapan, penyediaan makanan, kesihatan dan kebajikan jemaah serta urusan dengan agensi di Arab Saudi berkaitan Masyair.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya yakin dan percaya Kerajaan Arab Saudi akan memperbaiki dan mempertingkat kemudahan-kemudahan yang ada untuk memastikan Kebajikan Jemaah haji pada tahun ini akan lebih baik. — AlHijrah Online