BAKAL PELAJAR TIMUR TENGAH JANGAN HILANG FOKUS
KANGAR, 29 Jun – Pelajar dari negeri ini yang bakal menyambung pengajian ke Arab Saudi, Mesir dan Jordan dinasihat agar tidak hilang fokus dalam menimba ilmu demi mencapai kecemerlangan selain menjaga disiplin serta nama baik negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa memberikan nasihat itu mahu mereka menjadikan faktor berjauhan daripada keluarga untuk meraih sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman serta tidak sesekali menghampakan harapan keluarga.
“Apabila berada di sana ambil peluang bertalaqqi (belajar secara bertemu) dengan masyaikh (ilmuan dan saujana) sekerap mungkin.
“Tingkatkan potensi diri dalam kemahiran bahasa asing selain rajin melihat peluang pasaran pekerjaan terutama setelah tamat belajar kelak,” titah baginda semasa merasmikan ‘Program Iltizam Jitu Pelajar Perlis Timur Tengah 2016’ di Dewan Kuliah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, hari ini.
Turut berangkat ke program itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.Sebanyak 35 pelajar dari Perlis bakal berangkat ke negara Timur Tengah berkenaan selepas Aidilfitri ini.
Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs mengingatkan pelajar berkenaan untuk bersedia menghadapi sebarang tekanan atau keadaan sukar yang tidak dijangka sepanjang berada di perantauan.
Baginda juga berharap program yang dianjurkan MAIPs dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar berkenaan sebagai bekalan masa depan mereka kelak.
Program berkenaan melibatkan tenaga penceramah undangan daripada MAIPs, Jabatan Mufti Perlis, Maahad Tahfiz Darul Ulum Wal Isnad (ISNAD), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
BERNAMA