BANDUAN KHATAM AL-QURAN 10 KALI, BERUBAH DI SEBALIK TIRAI BESI

Gambar hiasan.

KLUANG: Seorang banduan di Penjara Simpang Renggam di sini menganggap akhlaknya telah berubah 180 darjah, daripada individu yang jauh dari landasan agama kepada insan yang mahu memperbaiki jalan hidup. 

Lebih membanggakan, banduan yang dikenali sebagai Din, 62, telah 10 kali khatam membaca al-Quran sepanjang 25 tahun berada di sebalik tirai besi setelah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Menurutnya, atas kesalahan itu hukuman yang dikenakan terhadapnya ialah penjara dengan Tahanan Limpah Sultan (TLS) serta enam sebatan, dan hanya pengampunan diraja membolehkan dirinya dibebaskan.

“Masa muda dahulu, saya seorang yang agresif dan panas baran, suka menurut kata hati, namun kini hati saya agak tenang selain merasai nikmat melakukan ibadah termasuk membaca al-Quran serta terjemahannya hampir setiap hari, perkara yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini.

“Apa yang boleh saya nasihatkan ialah berhati-hati memilih rakan, selain ibu bapa perlu memberi asas didikan agama yang baik kepada anak-anak bagi membolehkan mereka membezakan perbuatan baik dan buruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Penjara Simpang Renggam hari ini.

Terdahulu, Penjara Simpang Renggam mengadakan Program Jalinan Kasih Peringkat Penghuni Penjara yang disempurnakan oleh Pengarah Penjara Simpang Renggam TKP Abdul Kadir Jailani Ismail.

Sementara itu, seorang lagi banduan yang turut menjalani hukuman penjara TLS, dikenali sebagai Lee, 30, mengakui ada penyesalan dalam dirinya setelah tersalah memilih rakan sehingga mengakibatkan dirinya dipenjara sejak 2008.

Katanya, niat asalnya hanyalah untuk membantu rakan yang menjadi ‘along’ dengan menangkap seorang individu yang mempunyai tunggakan hutang, namun individu terbabit telah meninggal dunia ketika dalam jagaannya.

“Selepas itu, saya ditahan dan dijatuhkan hukuman ini sehingga mendapat pengampunan kelak. Perkara yang paling sedih dalam diri saya apabila ibu sering bertanya waktu sebenar saya diampunkan, saya sendiri juga tidak mengetahuinya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir Jailani berkata pada program berkenaan, seramai 35 banduan termasuk mereka yang menjalani hukuman TLS berpeluang bertemu kira-kira 300 ahli keluarga mereka bagi mengeratkan hubungan. 

“Dengan adanya program seperti ini, banduan akan dapat bertemu dengan keluarga masing-masing bagi melepaskan kerinduan sekali gus ahli keluarga mereka dapat memberi semangat dan sokongan kepada banduan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply